Tuesday, August 13, 2019

STRATEGI PENGAJARAN HONEY & MUMFARD


         

  Institusi pendidikan memainkan peranan yang cukup besar dalam mendidik ke arah memenuhi matlamat dan hasrat Falsafah Pendidikan Negara. Matlamat utama institusi pendidikan adalah untuk menyediakan dan melengkapkan pelajar dalam menghadapi pekerjaan dan dunia sebenar. Bagi memastikan sekolah melaksanakan tugas ini dengan baik, maka prestasi anak didiknya dijadikan kayu pengukur. Ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui proses pembelajaran adalah suatu perkara yang penting kepada semua pelajar sebelum mereka menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Menurut Sheal (1994) pembelajaran ialah proses mental atau fizikal yang membawa kepada perubahan dalam tingkah laku. Kebijaksanaan bukan suatu elemen yang statik tetapi adalah satu sistem dinamik, terbuka yang sentiasa berkembang sepanjang hayat. Kebanyakan proses pembelajaran yang signifikan adalah daripada apa yang telah kita lakukan iaitu melalui tindakan dan pemerhatian. Setiap individu menggunakan semua indera dalam menyerap informasi. Tetapi, secara umum, individu mempunyai kecenderungan lebih kuat pada salah satu gaya belajar. Sebagian individu mudah menangkap informasi dalam bentuk visual, sebagian yang lain menyukai informasi bentuk verbal dan sebagian yang lain lebih nyaman dengan cara aktif dan interaktif.
Pelajar juga merupakan individu yang berbeza di antara satu sama lain walaupun pada zahirnya mereka berada dalam tahap pembelajaran yang sama. Perbezaan ini merangkumi daripada aspek pemikiran, tindak balas, minat, kecenderungan, pencapaian dan pemahaman. Maka, setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran tersendiri untuk menerima dan bertindak balas serta menggunakan rangsangan dalam proses pembelajaran.
            Terdapat pelbagai teori dan model gaya pembelajaran yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh ilmuwan yang dapat dipraktikkan dan dijadikan sebagai panduan oleh pelajar-pelajar masa kini. Namun begitu, pelajar perlu mengetahui kepelbagaian gaya pembelajaran yang sesuai untuk diri mereka sendiri. Walau apa jua gaya pembelajaran yang dipilih sebaiknya mengikut yang dikehendaki. Ini bertujuan untuk menghasilkan satu proses pembelajaran yang berkesan kepada pelajar seterusnya menyumbang sesuatu perkara yang berkualiti kepada pendidikan negara kita. Menurut Honey dan Mumford (1992), pembelajaran telah berlaku apabila manusia boleh mempamerkan sesuatu yang baru, sama ada dalam bentuk pemahaman, kesedaran, kemahiran. Dalam proses pembelajaran ini terdapat beberapa kecenderungan yang dimiliki dan diamalkan oleh individu. Kecenderungan ini termasuklah kecenderungan untuk memiliki pengalaman semasa mempelajari sesuatu, kecenderungan untuk mengimbas kembali, kecenderungan untuk membuat kesimpulan dan kecenderungan memastikan implementasi. Selain itu, Honey & Mumford menekankan gaya pembelajaran didefinisikan sebagai penerangan ke atas sikap dan individu yang mengamalkannya. Oleh itu, sikap dan tingkah laku akan menentukan jenis gaya pembelajaran seseorang pelajar. Honey dan Mumford (1983) membahagikan sikap dan tingkah laku kepada 4 tahap iaitu Aktivis, Reflektif, Teoris dan Pragmatis.             
            Aktivis adalah gaya pembelajaran yang melibatkan diri secara aktif dan agresif dalam aktiviti pembelajarannya. Golongan pelajar ini biasanya mempunyai ciri-ciri berikut, mempunyai sikap tidak sabar dan tergesa-gesa, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi terhadap perkara-perkara baru di alam sekitar, bergerak pantas dan cepat membalas, gemar mencari pengalaman baru dengan cuba jaya diri sendiri, penuh semangat, fleksibel dan berfikiran terbuka, mempunyai motivasi intrinsik yang kuat dan sentiasa mengambil inisiatif untuk     menyelesaikan masalah sendiri, mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pelajar yang tergolong dalam kumpulan ini biasanya melibatkan diri dalam latihan amali, permainan, sukan dan aktivti kokurikulum. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai digunakan ailah kaedah inkuiri penemuan, kaedah projek, penyelesaian masalah, kerja praktik, perbincangan, sumbangsaran, buzz, simulasi dan main peranan. Namun implikasi terhadap pembelajaran dan pengajaran ialah, pelajar melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara berkumpulan dan penyelesaian masalah. Pelajar juga digalakkan supaya melakukan perbincangan untuk mengeluarkan idea-idea yang baik dan strategi pengajaran yang sesuai digunakan untuk kumpulan pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran aktivis ialah kaedah inkuiri penemuan, kaedah projek, penyelesaian masalah, dan perbincangan.  
            Reflektif adalah gaya pembelajaran yang suka memerhati, memikir dan membuat refleksi kendiri terhadap apa yang dipersepsikan dalam alam sekitar. Mereka mempunyai idea sendiri, memerhati, menyoal siasat mentafsir, menilai serta membuat refleksi kendiri dengan kemahiran berfikir. Ciri-ciri gaya pembelajaran reflektif ialah, suka memikir perkara-perkara dalam alam sekitar diri sendiri, mempunyai kemahiran berfikir secara kirits dan kreatif, suka mentafsir dan menilai sesuatu perkara, prinsip, keputusan atau projek serta membuat refleksi kendiri, suka mencari hakikat yang sebenar, sikap berhati-hati, berwaspada dan sentiasa memikirkan pelbagai pilihan dengan teliti, seseorang pendengar yang baik tetapi lambat bertindak balas, belajar dan membuat kerja secara sistematik dan tidak terburu-buru membuat keputusan atau kesimpulan. Pelajar yang tergolong dalam kumpulan reflektif biasanya suka belajar mata pelajaran seperti Sejarah, bahasa dan suka melibatkan diri dalam aktiviti projek dan kajian luar. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai digunakan untuk kumpulan pelajar ini ialah kaedah penyelesaian masalah, inkuiri-penemuan, projek dan perbincangan namun juga implikasinya terhadap pembelajaran dan pengajaran mereka lebih melakukan aktiviti di mana pelajar boleh berada dalam situasi melihat dan berfikir dan strategi pengajaran yang sesuai untuk kumpulan pelajar ini ialah kaedah penyelesaian masalah, inkuiri penemuan, projek dan perbincangan. 
            Teoris adalah gaya pembelajaran yang gemar menggunakan prinsip dan teori untuk membuat kesimpulan sesuatu perkara. Di antara ciri-ciri golongan pelajar ini ialah memiliki fikiran rasional dan logical, mempunyai sikap berdisiplin serta bersifat objektif, kurang kreatif dan menitikberatkan penggunaan pemprosesan otak kiri, suka membentuk hipotesis, menguji hipotesis dan membuat kesimpulan berdasarkan bukti, suka mengesan sebab dan akibat sesuatu perkara yang berlaku, berminat mengkaji fenomena-fenomena yang berlaku dalam alam sekitar. Golongan pelajar bersifat teoris ini biasanya suka belajar matematik, sains, logik, geografi dan sejarah. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai digunakan untuk mengajar mereka ialah kaedah induksi dan deduksi, bertukar pendapat melalui perbincangan dan mengumpul data untuk membuat analisis, tafsiran dan membuat rumusan melalui kaedah penyelidikan. Namun juga implikasinya terhadap pembelajaran dan pengajaran menjadikan pelajar-pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran Teoris digalakkan lebih banyak meyediakan peta konsep dan peta minda, pelajar juga disarankan melakukan aktiviti seperti perbincangan, bertukar pendapat dan menganalisis maklumat di mana pelajar perlu menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang sedia ada untuk mencapai sesuatu objektif tertentu dan strategi pengajaran yang sesuai digunakan ialah kaedah induksi dan deduksi, bertukar pendapat melalui perbincangan dan mengumpul data untuk membuat analisis, tafsiran dan membuat rumusan melalui kaedah penyelidikan. 
            Pragmatis adalah gaya pembelajaran yang bersifat praktikal dan mementingkan hakikat yang sebenar daripada teori, hukum atau prinsip yang sedia ada. Mereka mengutamakan aplikasi teori, hukum dan prinsip sedia ada dalam situasi sebenar. Ciri-ciri gaya pembelajaran pragmatis yang bersifat praktikal dan berpijak di bumi nyata, mementingkan bukti dan hakikat yang sebenar sebagai objektif pembelajaran, percaya perkara yang dapat dilihat daripada mendengar, mengutamakan kegunaan dan penggunaan sesuatu perkara, lebih bersifat ekspresif daripada kreatif, suka membuat perbandingan. Golongan pelajar di bawah gaya pembelajaran pragmatis menggunakan bahan-bahan konkrit untuk menjalankan aktviti pembelajaran. Oleh itu gaya pembelajaran yang sesuai digunakan untuk golongan pelajar ini ialah kaedah kerja praktik, strategi pemusatan bahan termasuk bahan elektronik, carta dan gambar rajah serta kaedah deduksi yang melibatkan aplikasinya namun juga implikasinya terhadap pembelajaran dan pengajaran melibatkan pelajar-pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran Pragmatis adalah digalakkkan melakukan aktiviti yang menggunakan bahan-bahan konkrit dalam proses pembelajaran di mana pelajar boleh mengaplikasikan idea, teori dan teknik dalam latihan amali yang dilaksanakan, salah satu aktiviti yang sesuai untuk pelajar yang mengamalkan gaya pembelajan ini ialah secara “hands-on” di mana pelajar menghasilkan sesuatu kerja dengan daya usaha sendiri dan mengaplikasikan teori yang dipelajari kepada praktikal dan strategi pengajaran yang sesuai digunakan untuk golongan pelajar ini ialah kaedah kerja praktik dan strategi pemusatan bahan termasuk bahan elektronik, carta dan gambar rajah.
            Secara keseluruhannya, kebanyakan pelajar-pelajar mempunyai lebih dari satu gaya pembelajaran. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar perlu memikirkan tentang kekuatan dan kelemahan gaya pembelajaran yang mereka amalkan untuk mengenal pasti bagaimana mereka menerima sesuatu proses pembelajaran. Pelajar-pelajar yang dapat mengenal pasti kecenderungan gaya pembelajaran mereka boleh mencuba dan mengaplikasikan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Namun begitu, sekiranya pelajar-pelajar lebih suka mengamalkan gaya pembelajaran yang telah sedia ada, mereka akan mendapati proses pembelajaran akan menjadi lebih cepat dan mudah. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar perlulah mengetahui gaya pembelajaran yang mereka amalkan kerana ini akan dapat membantu mereka membangunkan strategi untuk menggantikan kelemahan yang ada sebagai dorongan kepada kekuatan yang dimiliki dalam diri seseorang. Disini dapat disimpulkan bahawa kesedaran guru mengenai kewujudan perbezaan gaya pembelajaran di kalangan pelajar adalah sangat penting. Di samping pengamalan gaya pembelajaran di kalangan pelajar, gaya pengajaran guru juga memainkan peranan yang penting di dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik dan tahfiz pelajar. Oleh yang demikian, dengan adanya kepelbagaian dan persamaan di antara pengajaran guru dan pembelajaran pelajar, maka penyampaian sesuatu ilmu itu dikatakan berkesan dan seterusnya dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap apa yang dipelajari.

#AbuFateh/BangChik Rafaie

           

No comments:

Post a Comment