Monday, September 2, 2019


PELAKSANAAN PENGAJARAN TAHFIZ ABAD 21


PENDAHULUAN

            Pendidikan Al-Quran telah wujud sejak berabad lamanya bermula ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang beribadat di Gua Hira’ (Kamarul Azmi & Aderi 2015). Malaikat Jibril a.s. diutuskan kepada Rasulullah s.a.w sebagai guru, membaca kepada baginda s.a.w dan baginda s.a.w diminta untuk mendengar dan memerhatikan bacaan Jibril a.s. Kemudian baginda menyampaikan kepada para sahabat dengan kaedah yang sama. Lalu, pengajaran Al-Quran yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w berkembang sehingga ke Madinah sehingga melahirkan huffaz terkenal antaranya Abu Bakar, Uthman, Ali Ibn Masud, Aishah dan Hafsah (al-Buti, 1991).

            Pengajaran dan pembelajaran sebegini turut berlaku sehingga ke hari ini atau lebih dikenali sebagai talaqqi. Guru yang mengajar Al-Quran perlu memenuhi  serta mendalami ilmu tasawwur dalam Al-Quran agar penyampaian tidak terpesong iaitu berpegang kepada bacaan dari Rasulullah s.a.w, Pelbagai isu berkaitan dengan pendidikan tahfiz telah hangat diperbincangkan dalam kalangan akademik khususnya serta masyarakat amnya demi menjadikan pendidikan tahfiz ini lebih terarah dan tersusun dari segala sudut. Antaranya ialah berkaitan dengan pelaksanaan tahfiz abad 21 serta kaitannya dengan pembentukan generasi tahfiz sebagai pemimpin masyarakat.

KELEBIHAN MENGHAFAZ AL-QURAN   
  
            Mukjizat yang teragung yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w adalah Al-Quran di mana di dalamnya terdiri daripada 114 surah dan 30 juzuk adalah satu-satunya kitab yang boleh dihafaz secara keseluruhannya. Ini merupakan satu kelebihan yang telah diberi oleh Allah s.w.t kepada umat Nabi Muhammad s.a.w dan menyifatkan penghafaz Al-Quran sebagai rahmat dan hamba-hamba pilihannya.

            Mereka yang penghafaz Al-Quran akan dikurniakan dengan pelbagai kelebihan bukan sahaja ganjaran di dunia malah juga di akhirat. Menurut Ismail Masyhuri al-Hafiz (1993:87-90), di antara kelebihan yang diperolehi oleh penghafaz Al-Quran adalah perlindungan dari Allah s.w.t, menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w yang mulia, tidak merasa takut pada hari kiamat. Selain dari itu, golongan ini juga adalah pihak yang paling layak di angkat sebagai pemimpin masyarakat seperti disebut dalam hadis yang bermaksud :
            Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat          Muslim)

            Selain mendapat ganjaran dan kelebihan buat diri sendiri, ibu bapa kepada penghafaz Al-Quran juga akan mendapat kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Hadis Nabi s.a.w yang lain ada menyebut yang bermaksud :
            “Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya        maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran   mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu     berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

            Selain dari itu, mendapat ganjaran yang berlipat ganda dari Allah s.w.t sangat diharapkan dari setiap hamba-hambanya. Ia merupakan rahmat dan nikmat yang paling besar dari Allah s.w.t. Apatah lagi yang mengulangnya berulang kali untuk menghafaz dan murajaah untuk mengingat ayat al-Quran ini. Ini telah disebut dalam Riwayat Tarmizi yang  bermaksud :
            Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Quran) maka baginya           (pembaca) dengannya (Al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh           sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf.

            Imam Badr al-Din Muhammad bin Abdillah al-Zarkasyi (1981) menyatakan : “Mempelajari Al-Quran hukumnya fardu kifayah, demikian juga memeliharanya (iaitu menghafaznya). Maka ia juga wajib (kifayah) bagi setiap umat.” Kesimpulannya, umat Islam memerlukan sejumlah para huffaz untuk menjaga keaslian dan kesucian Al-Quran.

PELAKSANAAN PENGAJARAN TAHFIZ

            Penubuhan institusi tahfiz yang sesuai perlu bagi melahirkan huffaz yang cemerlang bukan sahaja duniawi malah ukhrawi. Kini terbukti, kecemerlangan pelajar kebanyakkannya dari institut atau sekolah integrasi tahfiz seperti sekolah-sekolah yang terpilih dibawah KPM untuk Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA). Contohnya pencapaian SPM 2017, pelajar cemerlang SPM iaitu Husna Mardhiyyah dari Sekolah Menengah Imtiyaz Kuala Berang yang mana sekolah tersebut muncul sebagai sekolah terbaik di Hulu Terengganu (Sinar Online). Antara tips kejayaan yang dikongsi olehnya menyatakan perkara pertama yang beliau mulakan dahulu adalah dengan bacaan Al-Quran. Komunikasinya yang sangat teratur dan sopan melambangkan huffaz yang cemerlang. Ini menunjukkan beberapa bukti bahawa sekolah ini berjaya melahirkan individu muslim yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah rohani. Isu pengurusan tahfiz perlu diambil serius bagi memperkasakan lagi kualiti pendidikan tahfiz. Pengurus sekolah perlu tingkatkan lagi aspek latihan dan kualiti pengajaran guru-guru tahfiz.

Pendidikan Tahfiz Al-Quran cara moden bermaksud pendidikan yang mempunyai struktur yang tersusun, meliputi sudut pengurusan, kurikulum dan kemudahan strukturnya. Pendidikan cara moden ini dianjurkan oleh pihak kerajaan pusat atau kerajaan negeri. Manakala Pendidikan Tahfiz cara tradisional pula bermaksud pendidikan yang kurang tersusun dengan baik dari sudut pentadbiran, kurikulum dan kemudahan infrastukturnya seperti sistem pendidikan swasta. Lazimnya pendidikan secara tradisional ini dikelolakan oleh orang persendirian atau swasta (Wan Mohamad 1997). Matlamat penubuhan dan kaedah pelaksanaan setiapnya berbeza-beza antara satu sama lain. Sebahagian daripadanya memberi penumpuan sepenuhnya kepada aspek hafazan Al-Quran semata mata. Manakala sebahagiannya yang lain memberi petimbangan kepada beberapa komponen lain dengan kadar yang berbeza-beza selain daripada hafazan Al-Quran seperti pengajian akademik (yang ditawarkan oleh sekolah aliran perdana), pengajian kitab kuning (turath) dalam bahasa Arab di pondok-pondok, aliran sains, kemahiran-kemahiran tertentu (seperti vokasional) dan lain-lain (Noorhisham Nawi et al 2014). Perkembangan pengajian tahfiz di Malaysia kebanyakan negeri bergerak dengan haluan sendiri berdasarkan kemunculan sekolah tahfiz swasta dan sekolah tahfiz rakyat. Akibatnya setiap negeri atau pengusaha tahfiz terlalu bebas memakai mana-mana kurikulum dan kaedah pengajaran dari mana-mana negara mengikut rasa dan latar belakang pendidikan individu guru berkenaan (Azmil Hashim 2010). Guru memainkan peranan penting dalam pembentukkan pelajar bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu bahkan membentuk pelajar sebagai persediaan kepada kehidupan seterusnya. Penyediaan guru yang berkelayakkan perlu diperketat agar matlamat dan objektif pendidikan tahfiz lebih lancar mengikut perancangan seperti yang telah di rangka.

PEMBENTUKAN GENERASI TAHFIZ SEBAGAI PEMIMPIN MASYARAKAT

            Sebagai peneraju Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di Malaysia, KPM sentiasa memastikan bahawa sistem pentaksiran yang terjamin kualitinya dari aspek kesahan dan kebolehpercayaan ke arah pembelajaran yang lebih berkesan. Selain itu, penjaminan kualiti dilaksanakan bagi memastikan peperiksaan/pentaksiran yang dikendalikan mengikut peraturan-peraturan, garis panduan dan arahan tentang peperiksaan. Dalam hal ini, kualiti hafalan ayat-ayat Al-Quran di samping kuantiti atau bilangan juzuk yang dihafal sangat perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak untuk membentuk generasi tahfiz sebagai pemimpin masyarakat akan datang. Secara keseluruhannya, KPM telah melaksanakan pelbagai usaha sama ada dari aspek kurikulum, pentaksiran, pensijilan tahfiz, perjawatan dan latihan guru tahfiz yang memaparkan secara jelas komitmen bagi mengiktiraf pendidikan tahfiz dan para huffaz dalam mata masyarakat dan arena pendidikan negara di tanah air Malaysia.

Kesimpulan

            Al-Quran merupakan kalam Allah s.w.t atau kata-kata Allah s.w.t yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya sebagai panduan kehidupan manusia seluruhnya. Al-Quran merupakan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w yang terpelihara sehingga hari perhitungan. Allah s.w.t menurunkan Al-Quran kepada semua hambaNya sebagai pegangan yang kukuh, agar dalam setiap kehidupan makhlukNya berada di dalam rahmat dan keberkatanNya. Pendidikan tahfiz pada masa kini merupakan satu aliran pendidikan yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat. Harapan yang besar diletakkan bagi memastikan pendidikan tahfiz berupaya melahirkan generasi Al-Quran yang dapat membangunkan kesejahteraan negara. Namun, cabaran yang melingkari pendidikan tahfiz tidak kurang hebatnya.





Rujukan

Imam Badr al-Din Muhammad bin Abdillah al-Zarkasyi. 1957. Al-Burhan fi al-Ulum al-Quran.
Azmil Hashim (2010). Penilaian perlaksanaan kurikulum Tahfiz al-Quran di Darul Quran JAKIM dan Ma’ahad Tahfiz al-Quran Negeri Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
Haji Alimuddin. (2006). Profil Tumpuan Guru Sekolah Menengah Di Negeri Selangor Terhadap pelaksanaan Perubahan Kurikulum. Jurnal Pendidikan 27 (1), 165-178.
Jemali, M., & Ahmad Sadadi, H. (2003). Hubungan antara kaedah Menghafaz Al-Quran dengan pencapaian kursus Tahfiz WA Al-Qira’at pelajar semester  empat dan lima di Maahad Tahfiz Wal Qira’at di Perak. Kertas kerja dibentang di Seminar Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan. Kolej Universiti Islam Malaysia, Melaka.
Kamarul Azmi, Mohd Aderi Che Noh. (2013). Bengkel Penghayatan dan Pengamatan (PdP) di SRA JAWI.
Mohamad Marzuqi Abd Rahim. (2008). Pengajaran Mata Pelajaran Hafazan Al-Quran: Suatu Kajian Maahad Tahfiz Al-Quran Zon Tengah. Kertas Projek Sarjana: Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Noor Hisham Md Nawi, Nur Azuki Yusuff, Mohd Binyamin Che Yaacob, Nasrul Hakim Salleh. (2014). Matlamat dan Halatuju Sistem Pengjian Tahfiz di Kelantan; Satu Pengamatan wal. 4th International Conference and Exhibition On Islamic Education 2014.


No comments:

Post a Comment