PELAKSANAAN PENGAJARAN TAHFIZ ABAD 21
PENDAHULUAN
Pendidikan
Al-Quran telah wujud sejak berabad lamanya bermula ketika Nabi Muhammad s.a.w
sedang beribadat di Gua Hira’ (Kamarul Azmi & Aderi 2015). Malaikat Jibril
a.s. diutuskan kepada Rasulullah s.a.w sebagai guru, membaca kepada baginda s.a.w
dan baginda s.a.w diminta untuk mendengar dan memerhatikan bacaan Jibril a.s.
Kemudian baginda menyampaikan kepada para sahabat dengan kaedah yang sama.
Lalu, pengajaran Al-Quran yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w berkembang
sehingga ke Madinah sehingga melahirkan huffaz terkenal antaranya Abu Bakar,
Uthman, Ali Ibn Masud, Aishah dan Hafsah (al-Buti, 1991).
Pengajaran
dan pembelajaran sebegini turut berlaku sehingga ke hari ini atau lebih
dikenali sebagai talaqqi. Guru yang mengajar Al-Quran perlu memenuhi serta mendalami ilmu tasawwur dalam Al-Quran agar penyampaian tidak
terpesong iaitu berpegang kepada bacaan dari Rasulullah s.a.w, Pelbagai isu
berkaitan dengan pendidikan tahfiz telah hangat diperbincangkan dalam kalangan
akademik khususnya serta masyarakat amnya demi menjadikan pendidikan tahfiz ini
lebih terarah dan tersusun dari segala sudut. Antaranya ialah berkaitan dengan
pelaksanaan tahfiz abad 21 serta kaitannya dengan pembentukan generasi tahfiz
sebagai pemimpin masyarakat.
KELEBIHAN MENGHAFAZ AL-QURAN
Mukjizat
yang teragung yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w adalah Al-Quran di mana
di dalamnya terdiri daripada 114 surah dan 30 juzuk adalah satu-satunya kitab
yang boleh dihafaz secara keseluruhannya. Ini merupakan satu kelebihan yang
telah diberi oleh Allah s.w.t kepada umat Nabi Muhammad s.a.w dan menyifatkan
penghafaz Al-Quran sebagai rahmat dan hamba-hamba pilihannya.
Mereka
yang penghafaz Al-Quran akan dikurniakan dengan pelbagai kelebihan bukan sahaja
ganjaran di dunia malah juga di akhirat. Menurut Ismail Masyhuri al-Hafiz
(1993:87-90), di antara kelebihan yang diperolehi oleh penghafaz Al-Quran
adalah perlindungan dari Allah s.w.t, menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w yang
mulia, tidak merasa takut pada hari kiamat. Selain dari itu, golongan ini juga
adalah pihak yang paling layak di angkat sebagai pemimpin masyarakat seperti
disebut dalam hadis yang bermaksud :
“Yang
menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)
Selain
mendapat ganjaran dan kelebihan buat diri sendiri, ibu bapa kepada penghafaz Al-Quran
juga akan mendapat kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Hadis Nabi s.a.w yang lain ada menyebut
yang bermaksud :
“Sesiapa
membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan
dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun
matahari itu berada di dalam rumah
rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
Selain
dari itu, mendapat ganjaran yang berlipat ganda dari Allah s.w.t sangat
diharapkan dari setiap hamba-hambanya. Ia merupakan rahmat dan nikmat yang
paling besar dari Allah s.w.t. Apatah lagi yang mengulangnya berulang kali
untuk menghafaz dan murajaah untuk mengingat ayat al-Quran ini. Ini
telah disebut dalam Riwayat Tarmizi yang
bermaksud :
“Sesiapa
yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (Al-Quran) pahala
dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya.
Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf.
Imam
Badr al-Din Muhammad bin Abdillah al-Zarkasyi (1981) menyatakan : “Mempelajari
Al-Quran hukumnya fardu kifayah, demikian juga memeliharanya (iaitu
menghafaznya). Maka ia juga wajib (kifayah) bagi setiap umat.” Kesimpulannya,
umat Islam memerlukan sejumlah para huffaz untuk menjaga keaslian dan kesucian
Al-Quran.
PELAKSANAAN PENGAJARAN TAHFIZ
Penubuhan institusi tahfiz yang sesuai perlu bagi
melahirkan huffaz yang cemerlang bukan sahaja duniawi malah ukhrawi. Kini
terbukti, kecemerlangan pelajar kebanyakkannya dari institut atau sekolah
integrasi tahfiz seperti sekolah-sekolah yang terpilih dibawah KPM untuk
Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA). Contohnya pencapaian SPM 2017, pelajar
cemerlang SPM iaitu Husna Mardhiyyah dari Sekolah Menengah Imtiyaz Kuala Berang
yang mana sekolah tersebut muncul sebagai sekolah terbaik di Hulu Terengganu
(Sinar Online). Antara tips kejayaan yang dikongsi olehnya menyatakan perkara
pertama yang beliau mulakan dahulu adalah dengan bacaan Al-Quran. Komunikasinya
yang sangat teratur dan sopan melambangkan huffaz yang cemerlang. Ini
menunjukkan beberapa bukti bahawa sekolah ini berjaya melahirkan individu
muslim yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah rohani. Isu
pengurusan tahfiz perlu diambil serius bagi memperkasakan lagi kualiti
pendidikan tahfiz. Pengurus sekolah perlu tingkatkan lagi aspek latihan dan
kualiti pengajaran guru-guru tahfiz.
Pendidikan Tahfiz Al-Quran cara moden bermaksud pendidikan yang
mempunyai struktur yang tersusun, meliputi sudut pengurusan, kurikulum dan
kemudahan strukturnya. Pendidikan cara moden ini dianjurkan oleh pihak kerajaan
pusat atau kerajaan negeri. Manakala Pendidikan Tahfiz cara tradisional pula
bermaksud pendidikan yang kurang tersusun dengan baik dari sudut pentadbiran,
kurikulum dan kemudahan infrastukturnya seperti sistem pendidikan swasta.
Lazimnya pendidikan secara tradisional ini dikelolakan oleh orang persendirian
atau swasta (Wan Mohamad 1997). Matlamat penubuhan dan kaedah pelaksanaan
setiapnya berbeza-beza antara satu sama lain. Sebahagian daripadanya memberi
penumpuan sepenuhnya kepada aspek hafazan Al-Quran semata mata. Manakala
sebahagiannya yang lain memberi petimbangan kepada beberapa komponen lain
dengan kadar yang berbeza-beza selain daripada hafazan Al-Quran seperti
pengajian akademik (yang ditawarkan oleh sekolah aliran perdana), pengajian
kitab kuning (turath) dalam bahasa Arab di pondok-pondok, aliran sains,
kemahiran-kemahiran tertentu (seperti vokasional) dan lain-lain (Noorhisham
Nawi et al 2014). Perkembangan pengajian tahfiz di Malaysia kebanyakan negeri
bergerak dengan haluan sendiri berdasarkan kemunculan sekolah tahfiz swasta dan
sekolah tahfiz rakyat. Akibatnya setiap negeri atau pengusaha tahfiz terlalu
bebas memakai mana-mana kurikulum dan kaedah pengajaran dari mana-mana negara
mengikut rasa dan latar belakang pendidikan individu guru berkenaan (Azmil
Hashim 2010). Guru memainkan peranan penting dalam pembentukkan pelajar bukan
sahaja dalam menyampaikan ilmu bahkan membentuk pelajar sebagai persediaan
kepada kehidupan seterusnya. Penyediaan guru yang
berkelayakkan perlu diperketat agar matlamat dan objektif pendidikan tahfiz lebih
lancar mengikut perancangan seperti yang telah di rangka.
PEMBENTUKAN GENERASI
TAHFIZ SEBAGAI PEMIMPIN MASYARAKAT
Sebagai peneraju Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di Malaysia, KPM
sentiasa memastikan bahawa sistem pentaksiran yang terjamin kualitinya dari
aspek kesahan dan kebolehpercayaan ke arah pembelajaran yang lebih berkesan.
Selain itu, penjaminan kualiti dilaksanakan bagi memastikan
peperiksaan/pentaksiran yang dikendalikan mengikut peraturan-peraturan, garis
panduan dan arahan tentang peperiksaan. Dalam hal ini, kualiti hafalan
ayat-ayat Al-Quran di samping kuantiti atau bilangan juzuk yang dihafal sangat
perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak untuk membentuk generasi tahfiz
sebagai pemimpin masyarakat akan datang. Secara keseluruhannya, KPM telah
melaksanakan pelbagai usaha sama ada dari aspek kurikulum, pentaksiran,
pensijilan tahfiz, perjawatan dan latihan guru tahfiz yang memaparkan secara
jelas komitmen bagi mengiktiraf pendidikan tahfiz dan para huffaz dalam mata
masyarakat dan arena pendidikan negara di tanah air Malaysia.
K esimpulan
Al-Quran
merupakan kalam Allah s.w.t atau kata-kata Allah s.w.t yang diturunkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya sebagai panduan kehidupan manusia
seluruhnya. Al-Quran merupakan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w yang terpelihara
sehingga hari perhitungan. Allah s.w.t menurunkan Al-Quran kepada semua
hambaNya sebagai pegangan yang kukuh, agar dalam setiap kehidupan makhlukNya
berada di dalam rahmat dan keberkatanNya. Pendidikan tahfiz pada masa kini
merupakan satu aliran pendidikan yang semakin mendapat tempat di kalangan
masyarakat. Harapan yang besar diletakkan bagi memastikan pendidikan tahfiz
berupaya melahirkan generasi Al-Quran yang dapat membangunkan kesejahteraan
negara. Namun, cabaran yang melingkari pendidikan tahfiz tidak kurang hebatnya.
Rujukan
Imam Badr al-Din Muhammad bin
Abdillah al-Zarkasyi. 1957. Al-Burhan fi al-Ulum al-Quran.
Azmil Hashim (2010). Penilaian
perlaksanaan kurikulum Tahfiz al-Quran di Darul Quran JAKIM dan Ma’ahad Tahfiz
al-Quran Negeri Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
Haji Alimuddin. (2006). Profil
Tumpuan Guru Sekolah Menengah Di Negeri Selangor Terhadap pelaksanaan Perubahan
Kurikulum. Jurnal Pendidikan 27 (1), 165-178.
Jemali, M., & Ahmad Sadadi, H.
(2003). Hubungan antara kaedah Menghafaz Al-Quran dengan pencapaian kursus
Tahfiz WA Al-Qira’at pelajar semester empat
dan lima di Maahad Tahfiz Wal Qira’at di Perak. Kertas kerja dibentang di
Seminar Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Tahfiz al-Quran Peringkat
Kebangsaan. Kolej Universiti Islam Malaysia, Melaka.
Kamarul Azmi, Mohd Aderi Che Noh.
(2013). Bengkel Penghayatan dan Pengamatan (PdP) di SRA JAWI.
Mohamad Marzuqi Abd Rahim. (2008).
Pengajaran Mata Pelajaran Hafazan Al-Quran: Suatu Kajian Maahad Tahfiz Al-Quran
Zon Tengah. Kertas Projek Sarjana: Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan
Manusia: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Noor Hisham Md Nawi, Nur Azuki
Yusuff, Mohd Binyamin Che Yaacob, Nasrul Hakim Salleh. (2014). Matlamat dan
Halatuju Sistem Pengjian Tahfiz di Kelantan; Satu Pengamatan wal. 4th
International Conference and Exhibition On Islamic Education 2014.